Sunday, August 2, 2009

Pulang




Pulang ke tempat kelahiran semalam pagi, tinggal untuk satu malam dan pulang semula petang tadi.
Penghuni rumah hanya tinggal berdua. Rumah tiga bilik yang cukup hingar bingar dua puluh tahun dulu kini sunyi. Hanya diduduki oleh dua insan yang saya sayangi hidup mati dengan perabut lama yang masih baik. Tiada lagi tangis anak kecil, leteran dan kecah barang berteraburan.
Rumah itu ada sedikit bahagian dalam hidup. Walaupun tidak tinggal di situ sejak masuk ke alam sekolah menengah hinggalah sekarang, rumah itu banyak menyimpan kisah dan cerita. Setiap kali pertukaran destinasi kehidupan, saya akan tinggalkan barang barang dari fasa kehidupan tersebut di rumah itu dan menuju ke fasa yang seterusnya.
Jadi di rumah itu ada pelbagai catatan,barangan dan foto suka duka hidup saya.
Di situ ada sekotak surat dari cinta pertama. Di mana segalanya bermula dengan cinta monyet dan akhirnya ditamatkan dengan penyesalan yang berbekas dalam diri hingga hari ini.
Di situ ada buku dan nota nota dari universiti kota yang pernah saya attend, saya gagal dan memberi impak yang cukup besar dalam menentukan cita cita dan masa depan. Apa yang saya pegang dan telah hadapi adalah impak daripada fasa kehidupan ini.
Tetapi yang paling penting, di rumah itu ada dua insan yang paling saya sayangi dunia akhirat.
Mereka tidak sempurna tapi adalah segala galanya buat saya.
Yang menerima saya seadanya. Yang doanya tak putus putus meminta kesejahteraan dalam hidup saya. Yang melahirkan. Yang membesarkan.
Setiap masa bersama mereka adalah pinjaman yang amat berharga.

No comments:

Post a Comment